Hari ini masuk hari ke 4 persidangan berlangsung. Setiap hari aku ditemani sebuah beg persidangan. Tanpa teman, tanpa 'geng' mahupun supervisor, aku melangkah seorang diri memasuki bilik-bilik persidangan. Sekali dua aku meramahkan diri bertegur sapa dengan 'orang-orang angkasa ini'.
Ya, mereka orang angkasa, yang kaki bagai tidak jejak bumi. Hanya memandang ke langit, malah pandangan mereka menembusinya. Kumpulan yang terkait dengan kajian ku pula dipanggil orang-orang yang hanya bermimpi. Membina satu struktur yang menghubungkan bumi dan angkasa secara langsung. Space elevator. Yang agensi aeroangkasa merasakan ia hanya satu misi yang sia-sia. Tapi mereka di dalam kumpulan ini adalah mereka yang alah bisa tegar biasa. Bermula dari tahun 1895 hingga sekarang impian Tsiolkovsky masih belum direalisasikan.Dan orang-orang 'space el*evator dan te*ther ini masih bersungguh memastikan impian mereka jadi kenyataan.
Setiap kali aku mendengar idea-idea genius, hasil-hasil eksperimen manusia-manusia bijak ini, setiap kali itu aku merasakan ilmu Allah itu sangat luas. Dan alangkah ruginya mereka ini. Ilmu mereka, semangat dan kedalaman cinta mereka di dalam bidang yang dikaji tidak membawa mereka kembali kepada Maha Pencipta. Yang mencipta Galaksi ini, Yang mencipta manusia ini, Yang Maha luas ilmunya.Ketika itu aku merasakan nikmat iman itu. Nikmat iman yang membuka mata seorang hamba yang kerdil ini.
Kata-kata Sayid Qutub seperti terngia-ngia di telinga :
"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?"
Ada sesuatu yang lebih besar daripada ilmu pembuatan roket. Ada sesuatu yang lebih besar daripada ilmu microgravity, ada ilmu yang lebih besar daripada ilmu 'orbital dynamics'. Itulah ilmu mengenal Allah. Sejauh mana geniusnya kita, jika kita tidak mengenal tuhan kita maka kita adalah golongan orang-orang yang rugi. Kerana, di penghujung perjalanan ini, kita akan meninggalkan ilmu-ilmu dunia itu dan ia sudah tak berguna lagi. Tapi, jika kita meletakkan memandu ilmu dunia dengan keimanan, sungguh kita akan dipandu ke jalan yang Allah redhai.
InsyaAllah...
Aku doakan semoga iman sentiasa memandu aku dan kalian dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Hidup ini sebagai hamba, biar pekerjaan kita hanya kerana mengharap redhaNya...
No comments:
Post a Comment